Infomina dapat kontrak RM23.49 juta selenggara sistem data LHDN

BeritaHarian Fri, Apr 10, 2026 10:01pm - 3 days View Original


Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Infomina, Yee Chee Meng
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Infomina, Yee Chee Meng

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian teknologi, Infomina Bhd (Infomina) memperoleh kontrak bernilai RM23.49 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyediakan infrastruktur teknologi operasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Infomina berkata ia menerima surat setuju terima (LoA) bertarikh 31 Mac 2026, untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan yang meliputi perkakasan dan perisian sistem gudang data LHDN.

"Ini termasuk pembaharuan lesen perisian dan sokongan, penyelenggaraan perkakasan serta sokongan teknikal, selain perkhidmatan profesional berkaitan," katanya.

Kontrak tersebut adalah bagi tempoh dua tahun bermula 1 April 2026 hingga 31 Mac 2028, dengan jumlah keseluruhan RM23.49 juta tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan.

"Sebarang pembaharuan atau pelanjutan LoA selepas tempoh itu adalah mengikut budi bicara LHDN," katanya.

Mengenai impak kewangan, syarikat itu berkata kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh perjanjian.

"Tiada seorang pun daripada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam LoA ini," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Infomina, Yee Chee Meng, berkata kontrak itu mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam sektor awam dan meningkatkan keupayaannya dalam mengendalikan infrastruktur dan persekitaran data yang kompleks.

"Kami kekal komited untuk memberikan perkhidmatan, kebolehpercayaan dan kecemerlangan teknikal yang berkualiti tinggi untuk menyokong keperluan operasi pelanggan kami," katanya.

Chee Meng menambah syarikat itu terus mencapai kemajuan yang kukuh dalam mengembangkan operasinya di peringkat serantau terutamanya di Jepun, apabila ia menyaksikan tarikan pelanggan yang menggalakkan.

"Dengan kehadirannya di seluruh Malaysia, Thailand, Filipina dan Jepun, serta mengekalkan momentum berterusan daripada kontrak yang dimenangi baru-baru ini, asas operasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan berulang Infomina yang semakin berkembang memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dan meningkatkan daya tahan perniagaannya," katanya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.830
INFOM 1.110

Comments

Sob Ri
Like · Reply
Hari ini app MYTAX masih problem utk akses.....

Login to comment.