AmanahRaya lantik Mohd Iskandar Dzulkarnain sebagai Pengarah Urusan

BeritaHarian Tue, Sep 01, 2026 04:15pm - 2 weeks View Original


AmanahRaya melantik Datuk Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa hari ini. NSTP/NABILA ADLINA AZAHARI

KUALA LUMPUR: Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) melantik Datuk Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa hari ini.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Mohd Iskandar memiliki pengalaman lebih 18 tahun dalam kepimpinan korporat merangkumi audit dalaman, pengurusan risiko, perancangan korporat, pembangunan hartanah, kewangan dan operasi perniagaan.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah sebagai pegawai kanan di Sapura Crest Petroleum Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd, Khazanah Nasional Bhd Group dan Bina Darulaman Bhd.

Pada 2023, Mohd Iskandar menyertai AmanahRaya sebagai ketua pegawai perkhidmatan korporat kumpulan yang memantau dan membimbing pelan strategik fungsi-fungsi sokongan korporat kumpulan.

"Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai pemangku pengarah urusan AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd (sebagai Pengurus REIT untuk AmanahRaya REIT), sebelum dilantik sebagai pengarah urusan pada Mac 2025," maklum kenyataan itu.

Mohd Iskandar memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan adalah Certified Chartered Financial Modelling Professional (CFMP) bertauliah selain menjadi ahli Persatuan Pengurusan Risiko dan Insurans Malaysia (MARIM).

Sementara itu, Pengerusi AmanahRaya, Datuk Seri Dr Vaseehar Hassan Abdul Razack, berkata pengalaman luas Mohd Iskandar dalam keutamaan strategik organisasi diharapkan dapat membantu memperkukuh kumpulan untuk membina daya tahan yang lebih baik pada masa depan.

"Lembaga pengarah yakin di bawah kepimpinannya AmanahRaya akan terus dapat memperkukuh keupayaan, meningkatkan kecemerlangan operasi dan mencapai pertumbuhan mampan selain terus komited mendukung tanggungjawabnya sebagai satu-satunya pemegang amanah awam Malaysia," katanya.

AmanahRaya adalah syarikat pemegang amanah utama milik kerajaan yang terbabit antaranya dalam perancangan harta pusaka, wasiat, amanah dan perkhidmatan pemegang amanah korporat.

- BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BDB 0.185
KPS 0.540

Comments

Rhopla Jingga
Like · Reply
what kind of....

Login to comment.